AUTOMOTIF | Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) cuba memenuhi pesanan tertunggak yang masih tinggi bagi memastikan pelanggan terus mendapat manfaat daripada pengecualian cukai jualan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan media pada 21 Jun 2022 berkata antara isu yang masih memberi kesan kepada industri automotif tempatan termasuklah impak COVID-19, kekurangan komponen dan kekurangan tenaga kerja.
"Isu ini masih lagi ditangani yang mana PERODUA dan pembekal kami sedang mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian dan lanjutan masa untuk mendaftarkan kenderaan yang ditempah memberi kami ruang yang amat diperlukan untuk mengatasi isu terbabit," katanya.
Zainal Abidin berkata, pengumuman lanjutan pengecualian cukai jualan bagi kenderaan tempah sebelum 1 Julai dan didaftarkan sehingga 31 Mac 2023 memberi jaminan bahawa pelanggan akan dapat menikmati insentif yang telah membantu industri sejak tahun 2020.
"Kami amat menghargai pelanggan kami di atas kesabaran mereka," katanya
Beliau berkata, PERODUA menyambut baik pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini yang membenarkan pelanggan menikmati pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka ditempah sebelum 30 Jun 2022.
"Kami amat berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini kerana ia memberi ruang kepada industri dan pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna dan pada masa yang sama memberi masa kepada kami untuk mengatasi pelbagai isu sedia ada," katanya.
Mengenai penghantaran setakat ini, Zainal Abidin berkata, PERODUA telah mendaftarkan 106,179 kenderaan antara Januari dan Mei tahun ini, iaitu lebih 10 peratus daripada 96,281 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Daripada jumlah 106,179 unit ini, Perodua Myvi menjadi model paling laris dengan 31,689 unit didaftarkan, diikuti dengan Perodua Axia sebanyak 24,024 unit dan Perodua Bezza sebanyak 23,336 unit," katanya.
Comments
Post a Comment